Monday 1 October 2012

Adakah nasib atlet pekak dipinggirkan …..?

Sebaik Sukan Olimpik 2012 dan Sukan Paralimpik 2012 selesai di kota London, Malaysia turut mengukir nama di kalangan negara-negara di dunia sebagai salah sebuah negara yang atlet-atletnya berjaya membawa pulang pingat.

Pemain badminton perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong Pamg, ratu terjun telah mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik dengan meraih pingat perak dan gangsa. Manakala Hasihin Sanawi (memanah individu recurve) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (acara lontar peluru lelaki F20 - masalah pembelajaran) masing-masing telah memenangi pingat perak dan gangsa juga. Tahniah kepada mereka semua.

Dengan kejayaan tersebut kerajaan telah memberi pengiktirafan kepada mereka. Datuk Lee Chong Wei mendapat RM300,000 (pingat perak) dan Pandelela Rinong Pamg - RM200,000 (pingat gangsa). Selain daripada itu mereka menerima lain-lain imbuhan dari pihak kerajaan negeri masing-masing dan lain-lain pihak.

Bagi atlet-atlet Paralimpik pula, Hasihin Sanawi mendapat RM200,000 hasil membawa pulang pingat perak manakala Muhammad Ziyad Zolkefli mendapat RM100,000 melalui pingat gangsa.

Sebagai rakyat Malaysia kita amat bertuah kerana kerajaan telah memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada atlet biasa dan atlet Paralimpik.

Malah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Razak turut memberi kata-kata semangat kepada semua atlet-atlet semasa majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik London pada 11 Julai 2012 lalu iaitu :           
Kenyataan ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia amat prihatin dan menghargai setiap titik peluh atlet-atlet Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Kerana kejayaan yang diraih melalui sukan oleh atlet-atlet negara maka Malaysia dikenali dunia. Begitulah hebatnya ‘aura’ sukan kepada dunia.

Kepada atlet warga pekak Malaysia pula mereka juga mempunyai cita-cita dan semangat tinggi untuk mengharumkan nama negara. Mereka berpeluang mencipta nama di Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (Asia Pacific Deaf Games -APDG) dan Sukan Olimpik Orang Pekak atau Deaflympics Games (dulu dikenali Sukan Orang Pekak Dunia) yang mana ini adalah pentas sukan warga pekak peringkat antarabangsa.

Dalam sejarah sukan warga pekak Malaysia, buat pertama kalinya pada tahun 1993 atlet-atlet pekak Malaysia menyertai Sukan Deaflympics. Bertolak dari situlah Malaysia sehingga kini tak pernah gagal menyertai sukan berkenaan.

Di Malaysia, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia atau Malaysian Deaf Sports Association (MSDeaf) adalah persatuan sukan warga pekak kebangsaan yang memainkan peranan utama mengawal selia dan ketengahkan atlet-atlet pekak berbakat dalam sukan ke peringkat antarabangsa. MSDeaf adalah ahli gabungan yang sah kepada International Committee of Sports for the Deaf (CISS) dan Asia Pacific Deaf Sports Confederation (APSDC).

Hasil daripada penyertaan Malaysia di sukan-sukan berkenaan beberapa atlet-atlet pekak telah berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat. Mereka turut diberi ganjaran sagu hati skim kemenangan pingat oleh kerajaan yang di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Keluarga Negara dan Pembangunan Masyarakat - KPKNPM (sekarang dikenali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - KPWKM). Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang di bawah KPKNPM ketika itu adalah pihak yang telah menyampaikan skim insentif kepada atlet-atlet pekak.

Skim tersebut bermula pada tahun 1996 ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Orang Pekak Asia Pasifik ke-5 di Kuala Lumpur. Selepas itu beberapa orang atlet-atlet pekak yang telah memenangi pingat telah turut mendapat habuan mereka yang semuanya berjumlah RM116,300 sebanyak dua kali dalam sejarah penyertaan Kontinjen Malaysia di Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) termasuk 6th APDG Taipei 2000 dan habuan sebanyak RM108,000.00 kepada atlet-atlet pekak yang mendapat pingat di Sukan Deaflympics ke-19 di Rom, Itali.

Apabila MSDeaf diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) kerana statusnya sebagai persatuan sukan dan wajib berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS) secara automatik MSDeaf tidak lagi di bawah KPKNPM. Walau bagaimanapun skim intensif yang diberi oleh pihak KPKNPM tidak disambungkan oleh pihak KBS atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

MSDeaf pernah menyuarakan hal ini kepada pihak KBS sehingga pernah berjumpa dengan Menteri KBS iaitu Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek walau bagaimanapun sehingga saat ini pihak KBS masih belum memberi maklum balas.

Presiden MSDeaf, Kamarzaman Hj. Harun sedang menyampaikan
taklimat dalam bahasa isyarat di depan Menteri Belia dan Sukan, 
Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek. 

Walau bagaimanapun pihak Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) melalui Pengarah Cawangan Paralimpik yang menjaga hal ehwal pembangunan sukan atlet-atlet Paralimpik pernah menyatakan dalam dada akhbar Sinar Harian pada 5 September 2009 iaitu MSN bukanlah pihak yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal atlet-atlet pekak kerana menurutnya MSDeaf adalah persatuan sukan yang bukan di bawah Cawangan Paralimpik. Selain daripada itu sukan Paralimpik di peringkat antarabangsa juga tidak melibatkan atlet-atlet pekak.

Dalam lain hal, MSDeaf adalah ahli gabungan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) iaitu majlis sukan yang bertanggungjawab bagi pembangunan sukan OKU di Malaysia. Namun begitu MPM pun tidak dapat memainkan peranannya kerana dasar utama MPM adalah membangunkan sukan paralimpik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dasar MPM sepatutnya disedari oleh pihak KBS dan pihak mereka sepatut membuat kajian menyeluruh mengenai status sukan paralimpik dan sukan orang pekak kerana jika perkara ini dibiarkan begitu sahaja maka kerugian yang lebih besar di pihak atlet-atlet pekak dan juga negara.

Perlu difahami bahawa atlet pekak adalah atlet yang tidak mempunyai kecacatan fizikal dan mental dan mereka berupaya berdiri sebaris dengan atlet normal sekiranya keperluan mereka difahami oleh pihak kerajaan. Perkara ini telah terbukti di luar negara kerana kebanyakan atlet-atlet pekak di dunia sebelah sana adalah wakil kepada negara mereka di Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan lain-lain sukan peringkat antarabangsa.

Adalah perkara yang amat malang di negara kita jika ada usaha-usaha pihak tertentu untuk menggabungkan atlet pekak dengan atlet paralimpik. Pada pandangan MSDeaf tindakan ini amat merugikan atlet-atlet pekak kerana mental mereka telah awal-awal lagi dikhususkan untuk mencapai tarap paralimpik pada hal atlet-atlet pekak mampu melangkaui lebih jauh lagi.

Apa yang diperkatakan ini bukan bermaksud memperlakikan atlet-atlet paralimpik kerana kalau dibandingkan atlet-atlet yang mempunyai kecacatan fizikal dan mental memang tidak mampu bersaing sebaris dengan atlet biasa kerana faktor batasan fizikal dan mental mereka. Kalau atlet-atlet paralimpik mampu pun kemungkinan dalam batasan tertentu atau beberapa keajaiban serta tuah yang lahir dari bakat mereka.

Penubuhan Majlis Sukan dan Rekreasi Oku Negeri atau MASRON yang dipersetujui bersama oleh pihak KBS dan MPM 5 tahun yang lalu adalah lebih condong untuk menjayakan pembangunan sukan atlet-atlet Paralimpik berbanding atlet-atlet pekak walaupun setiap tahun diadakan Sukan Paralimpik yang turut disertai oleh atlet-atlet pekak ini cuma sebagai melengkapkan syarat Sukan Paralimpik Malaysia (SPM).

Saban tahun MPM mengadakan SPM yang turut membabitkan atlet-atlet OKU termasuk atlet-atlet pekak dari peringkat sekolah dan persatuan pekak. Seperti yang ketahui oleh semua pihak SPM adalah platform bagi mencungkil bakat-bakat baru di kalangan atlet-atlet OKU (cacat anggota, berkerusi roda dan bermasalah pembelajaran). Bagaimana pula dengan atlet-atlet pekak? Mereka juga dipilih ke sukan peringkat antarabangsa melalui MPM?

Yang jelas kesan negatif amat jelas iaitu atlet-atlet pekak yang pernah menyertai SPM akan mengungkitkan kelebihan yang mereka perolehi semasa menyertai SPM membandingkan kemudahan yang mereka perolehi apabila mereka menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA). Setiap kerajaan negeri yang menghantar atlet-atlet mereka bertanding di SPM telah sedia ada peruntukan iaitu dari segi elaun, penginapan, pakaian rasmi atlet dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana SPM adalah sukan yang telah mendapat pengiktirafan dari kerajaan berbanding dengan SOPMA yang masih belum mendapat pengiktirafan rasmi dari kerajaan. Walaupun dengan perbezaan ini dirasai apabila menganjurkan SOPMA pihak MSDeaf tidak mudah melatah.

Hakikatnya atlet-atlet pekak amat berbangga dipilih mewakili negara. Sambil menyematkan bendera keramat Jalur Gemilang dan bertulis di belakang pakaian mereka dengan nama MALAYSIA, perbarisan Kontinjen dengan mengibarkan megah Jalur Gemilang dan yang paling manis pengalaman berdiri megah di podium sambil melihat Jalur Gemilang dinaikkan dan berkibar megah apabila mereka berjaya memenangi pingat untuk negara.

Kontinjen Malaysia ke
Sukan Orang Pekak Asia Pasifik ke-7 Seoul 2012

Sehingga kini kita tidak tahu apa yang tidak kena dengan atlet-atlet pekak pada pihak kerajaan? Adakah atlet-atlet pekak rakyat Malaysia yang tidak layak diberi penghargaan langsung atas daya usaha mereka mengharumkan nama negara? Ataupun atlet-atlet pekak ialah rakyat kelas dua yang perlu membuktikan lebih dari memenangi pingat?

Pingat perak beregu lelaki badminton (kiri) dan gangsa
perseorangan lelaki boling tenpin diraih semasa Sukan Deaflympics ke-21
Taipei 2009 yang tiada nilainya....? 
Kita akan berjuang .....