Wednesday 27 February 2013

Mengapa kategori orang pekak dikeluarkan daripada Sukan Paralimpiad Malaysia...


Pada beberapa minggu yang lepas, penyertaan warga Pekak ke Sukan Paralimpiad Malaysia (SPM) telah menjadi isu yang diperkatakan selepas Presiden Persatuan Orang Pekak Pahang, Mohamad Firdaus menyuarakan ketidakpuasan hati dalam dinding Facebook yang memetik tulisan dari blog Pena Diam (www.amir-hamidi.name.my).

Mesej beliau disokong oleh beberapa individu yang didapati menerima maklumat yang tidak lengkap tentang cadangan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) untuk mengeluarkan kategori Pekak dari SPM.
  
Komen daripada Presiden Pekak Pahang

Pihak MSDeaf percaya bahawa hal ini dianggap tidak munasabah sekiranya MSDeaf mengeluarkan kategori Pekak dari SPM secara tergesa-gesa tanpa adanya sebab yang kukuh dan rasional.

Rasional tersebut telah dikemukakan dalam mesyuarat khas baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan turut dihadiri oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Seperti yang diketahui semua pihak, SPM merupakan landasan pemilihan atlet OKU yang terbaik seperti OKU Anggota (Wheelchair Bound, Amputees & Les Autres), OKU Penglihatan (Visually Impaired), Spastik (Cerebral Palsied) dan OKU Akal (Intellectually Disabled) untuk dipilih mewakili negara ke kejohanan sukan berprestasi tinggi iaitu Sukan FESPIC, Sukan PARA Asean, Sukan PARA Asian, Sukan Paralimpik dan kejohanan-kejohanan dunia.

Bagi atlet Pekak yang mengambil bahagian dalam SPM, kehadiran mereka sekadar sebagai pelengkap penyertaan temasya SPM tanpa adanya hala tuju yang jelas dan peluang pemilihan ke peringkat lebih tinggi.




Sekiranya diperhalusi dengan teliti, penyertaan atlet Pekak ke SPM boleh dipersoalkan kerana ia dianggap satu pembaziran masa, tenaga dan wang disebabkan oleh tiadanya perancangan bagi mencungkil bakat atlet Pekak untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Maka kehadiran atlet Pekak dalam SPM boleh dikatakan sebagai “Atlet Pelancong”.

Yang perlu kita sedari sebagai warga Pekak yang tinggal di bumi Malaysia yang telah merdeka lebih separuh abad, sebilangan daripada kita masih dibelenggu pemikiran yang ‘tidak merdeka’ dan tidak berpandangan jauh untuk mengubah nasib komuniti kita.

MSDeaf tidak keberatan hati menerima nasihat daripada pengarah sukan yang menyelia pembangunan Paralimpik di MSN seperti yang berbunyi “Anda (orang pekak) perlu memberi sumbangan kepada negara, bukan menanyakan apa yang kerap kerajaan berikan kepada anda`.

Maksud ini boleh diertikan iaitu komuniti orang Pekak perlu membuktikan komitmen untuk memberi yang terbaik kepada kerajaan dengan melahirkan atlet-atlet Pekak yang berkualiti, berdaya saing dan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan atlet kebangsaan dan juga atlet Paralimpik.

Atlet Pekak sebenarnya berpotensi besar dalam persaingan terbuka bersama atlet biasa kerana dari segi fizikal atlet Pekak dan atlet biasa tiada perbezaan secara langsung.


Yang menjadi perbezaan ketara ialah dari segi keupayaan kerana atlet biasa lebih tinggi keupayaannya daripada atlet Pekak. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Perkara inilah perlu diperdebatkan – bagaimanakah melahirkan atlet Pekak berkelas dunia?

Tanggungjawab bersama jabatan kerajaan dan badan sukan ialah untuk mengumpul atlet-atlet OKU seperti ketidakupayaan fizikal, ketidakupayaan pendengaran (Pekak) dan masalah pembelajaran (mental) di bawah satu bumbung kerana kerajaan mengamalkan “Sukan Untuk Semua” dan pihak MPM menjadi penganjur SPM.

MSDeaf mahu memperlihatkan keupayaan sebenar atlet Pekak dengan memberi mereka peluang yang sebaik mungkin melalui sistem latihan yang sistematik, kemudahan sains sukan dan pendedahan dalam pelbagai pertandingan. Yang paling penting mereka dapat berlatih bersama atlet biasa bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dalam persaingan yang mencabar.

Seperti yang diketahui sekolah-sekolah pendidikan khas mengadakan Sukan Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan pada saban tahun. Selain daripada itu, ada juga pelajar-pelajar Pekak menyertai acara sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah peringkat zon, daerah, negeri hingga ke peringkat kebangsaan. Walau bagaimanapun belum ada rekod menunjukkan pencapaian terbaik atlet Pekak yang bersaing dengan atlet biasa.

Adalah menjadi dasar MSDeaf, iaitu bersedia bekerjasama dengan semua pihak. Ada pihak mengatakan bahawa sekiranya atlet Pekak dikeluarkan dari SPM, disamakanlah dengan orang Pekak memutuskan hubungan dengan dunia luar. Tanggapan sedemikian adalah tidak tepat sama sekali.

Kita masih boleh lagi bekerjasama melalui program-program anjuran Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) seperti program Sukan Massa (SM). SM merupakan sukan yang bermatlamat untuk mengeratkan hubungan dan perpaduan yang bertepatan dengan konsep “Sukan Untuk Semua”.

Dalam kes lain yang pernah direkodkan, terdapat luahan dan rintihan seorang atlet Pekak yang pernah mewakili negeri. Beliau banyak kali memenangi pingat emas ketika menyertai SPM. Beliau meluahkan kekecewaannya tidak pernah dipilih mewakili negara. Yang pasti tiada pihak yang berani memberi penjelasan yang sebenar mengenai kedudukan atlet tersebut dalam SPM.

Tumpuan sepenuhnya selepas ini akan diberikan kepada SOPMA ke-18 di Melaka pada tahun 2014 sebagai acara sukan terunggul bagi warga Pekak di Malaysia di samping berusaha menyedarkan masyarakat umum bahawa pengasingan ini membawa kebaikan untuk semua pihak.

Dengan demikian juga kerajaan diharapkan akan lebih fokus dengan memberikan bantuan yang sewajarnya untuk menjayakan penganjuran dan juga persiapan kontinjen-kontinjen negeri menyertai SOPMA seperti kejayaan penganjuran SUKMA dan SPM yang mendapat bantuan sepenuhnya oleh kerajaan.

No comments:

Post a Comment